Hati mudah berubah; iman turun dan naik


*** Lebih kepada mengingati diri sendiri***
                
Aku mengeluh sendirian: “Alangkah cepatnya hatiku berubah”. Terkadang terasa kuat membara sengatan iman di hati, tetapi lama kelamaan pudar juga oleh sengatan syahwat yang berbisa. Jika dulu bersemangat mengkaji dan mengamalkan islam, kini semangat itu menjadi surut disebabkan kesibukan dunia yang tiada penghujungnya. Begitulah keadaan hamba yang semakin tenggelam ke dasar lautan duniawi tanpa menyedari nafas imannya semakin lemah dan akan mati lemas akhirnya.

Astaghfirullahala’zim, astaghfirulahala’zim, astaghfirullahala’zim…L

Beruntunglah sesiapa yang mahu memperbaiki imannya, menjaga dan melindungi iman seperti dia melindungi hartanya atau popularitinya supaya tidak musnah.

Justeru, aku mula mencari punca di mana silapnya, di mana puncanya kelemahan iman yang semakin dirasai ini. Antara jawapan: (jom sama2 buat checklist)

*Ibadah tidak berkualiti. Sesiapa yang berasa dirinya jauh daripada Tuhannya, terseleweng daripada jalan-Nya ataupun berhenti terlalu lama dalam permainan nafsunya, kembalilah semula ke jalan Allah supaya dia dicintai Allah.
Bawalah dua bekalan asas; ibadat wajib dan sunnat. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Allah berfirman: Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain daripada kewajipan yang Aku fardukan kepadanya. Dan hamba-Ku itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadat sunnah sehingga Aku mencintainya.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Ramai hamba Allah yang tertipu dengan amalannya sedangkan ia hanyalah umpama debu pada pandangan Allah.

*Hati yang tidak khusyuk. Petanda awal kerosakan hati ialah hati yang tidak dapat menghadirkan khusyuk. Penyakit ini semakin parah apabila ia meninggalkan karat kemalasan ketika beribadah. Melakukan ibadat sekadar mendirikan kewajipan sahaja, tetapi tiada kemanisan ibadat. Astaghfirullah..!!
Khusyuk hanya diperoleh dengan jalan mujahadah. Punca hilangnya khusyuk ialah hati terlalu keras. Cara melembutkan hati ialah dengan melemahkan nafsu. Jika dilihat para sahabat dulu, mereka membiasakan diri dengan sujud yang panjang pada akhir malam seperti mana sunnah yang diajarkan Rasulullah SAW. Baginda memanjangkan sujud dalam solat malamnya selama kurang lebih membaca lima puluh ayat al-Quran, begitu juga ketika rukuknya. Saat paling dekat seorang hamba kepada Allah ialah ketika dia sujud. Ia mampu melembutkan hati dan mengubat jiwa yang tenat tanpa iman.

*Berlebihan dengan perkara yang mubah. Bercuti boleh meredakan ketegangan, menjamu selera dan membeli-belah baik untuk mengubat kebosanan, memakai pakaian yang indah dan mahal tidak dilarang, membeli perhiasan dan apa yang menyukakan hati boleh melahirkan kekyukuran kepada nikmat Allah Taala.
AKAN TETAPI….perkara sebegini kadang-kala membuat kita leka. Jika berlebihan dengan aktiviti ynag memanjakan diri, dibimbangi akan melemahkan semangat “perjuangan” sebenar, mengaburkan mata dan hati yang celik dan akhirnya larut dalam kesibukan dunia hingga melupakan akhirat.

*Tidak menghadiri majlis ilmu. Manusia mudah lupa dan hilang pedoman hidupnya, tidak jelas matlamat, arah dan tujuannya. Siapa dirinya, berasal dari manakah dia, mahu ke mana dan apa yang mahu dicapainya?? (rujuk kisah Nabi Adam)
Sebelum Dr M menyatakan “melayu mudah lupa”, sejarah Nabi Adam telah membuktikan yang memang manusia itu sifatnya mudah lupa. Jadi kita perlu sentiasa diingatkan. Semua persoalan di atas memerlukan jawapan yang pasti.

*Mengalami gejala kesedihan dan kerisauan berlebihan. Apabila iman menipis, lupa kepada Allah, akan lahirlah perasaan sedih, susah hati dan murung. Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”
Mengingati Allah maksudnya ingatan yang membawa kepada kegembiraan. Gembira dengan takdir-Nya, reda dengan jalan hidup yang dipilih untuknya, untung rugi harta, susah senang kehidupan kerana manusia lahir ke dunia dengan senario yang termaktub di Lauh Mahfuz. (Rjuk sifat-sifat Qana’ah)
Setiap mukmin memiliki hati yang mampu berbisik mengenai keadaan imannya, siapakah yang paling mengetahui diri kita melainkan Allah Taala dan diri kita sendiri.

Comments

Post a Comment

Popular Posts