Al Fatihah (Pembukaan)

Assalamualaikum wbt. 


1. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
2. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
3. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
4. Yang menguasai Hari Pembalasan (hari Akhirat).
5. Engkaulah sahaja yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
6. Tunjukilah kami jalan yang lurus.
7. Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat. 

Keutamaan Surah Al Fatihah insyaallah
1. Surah yang Paling Agung di dalam al-Quran.
Abu Sa'id bin Mu'alla berkata "Pada suatu hari, aku sedang sembahyang di masjid. Setelah selesai sembahyang, aku diseru oleh Rasulullah SAQ, kemudian Rasulullah SAW bersabda: Aku akan mengajarkan kepada kamu sesebuah surah yang paling agung di dalam al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid. Aku bertanya: Apa surah itu, wahai Rasulullah? Rasulullah SAW bersabda: (Ia adalah surah) Segala Pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Ia adalah 7 ayat yang diulang-ulang (dalam setiap rakaat) dan al-Quran yang agung telah diberikan kepadaku."  (Bukhari, Abu Dawud, Nasa'i)

2. Surah yang Paling Utama di dalam al-Quran
Abu Hurairah meriwayatkan bahawasanya Rasullulah SAW bersabda: "Alhamdulillahi Rabbil'Alamin adalah Umm al-Quran, Umm al-Kitab, al-Sab'ul Matsani, al-Quran al-'Azhim, as-Salat, asy-Syifa' dan ar-Ruqyah." (Tirmizi)

3. Surah yang didalamnya termaktub munajat antara hamba dan Allah SWT.
Abu Hurairah berkata, pada suatu masa Rasullullah SAW bersabda: "Allah telah berfirman: 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah kepada dua bahagian, iaitu untukKu dan untuk hambaKu, dan Aku akan mengabulkan apa yang hambaKu pohonkan.' 
Apabila dia membaca: 'Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan sekalian alam', Allah akan membalasnya dengan berfirman: 'HambaKu telah memujiKu.'
Apabila dia membaca: 'Zat Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani; Allah berfirman: 'HambaKu telah memujiKu'. Apabila dia membaca: 'Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan'; Allah berfirman: 'HambaKu telah mengagungkan Aku', lalu Allah berfirman sekali lagi: 'HambaKu telah menyerahkan segala urusannya kepadaKu.'
Apabila dia membaca: 'Engkaulah sahaja yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan'; Allah berfirman:' Ini adalah urusan antara Aku dan hambaKu, dan Aku akan mengabulkan apa yang hambaKu pohonkan.'
Apabila dia membaca: 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat'; Allah berfirman:'Ini adalah untuk hambaKu, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pohonkan."  (HR Muslim, Abu Dawud, Nasa'i, Tirmizi dan Ibn Majah)


Rujukan: Dr Ahmad Hatta (Tafsir Per Kata)

Moga bermanfaat insyaallah. 

Oleh: Nurulain

Comments

Popular Posts