Silaturrahim Sahabat
Kawan, persaudaraan dan persahabatan mempunyai makna yang menjunjung prinsip kehidupan. Kadangkala, ianya terlalu mulia untuk dipertikaikan. Apabila berdepan dengan sahabatlah, kadang kala kita goyah. Apabila berdepan dengan sahabatlah, kadangkala kita tidak mampu untuk jujur semata2 mahu menjaga hatinya. Apabila berdepan dengan sahabatlah, kadangkala kita takut untuk mengatakan “TIDAK”. Apabila berdepan dengan sahabatlah, kita merasa serba salah bila hendak menegur kesilapannya.
Mari kita renung sejenak….J
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah pernah bersabda, “seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah dan bersikap bijaksana dalam memilih sahabat”.
Jelas, sahabat sangat penting kerana siapa mereka mencerminkan diri kita. Haruslah berwaspada memilih sahabat kerana siapa mereka memberi imej kepada kita. Perlulah bijaksana dalam memilih sahabat kerana siapa mereka berkemungkinan menjadi penolong atau musibah di akhirat kelak.
Hal ini jelas dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Furqaan, “Pada hari itu orang zalim menggigit dua jarinya dengan penuh penyesalan sambil berkata alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Wahai, alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si fulan itu sebagai sahabat akrabku. Ia telah menyesatkan aku dari mengingati pesanan (Allah) setelah peringatan itu datang. Dan syaitan memang pengkhianat manusia”, (25: 27-29)
Di sini, penulis mahu bincangkan “silaturrahim sahabat” dari dua perspektif yang berbeza. Pertama, dari perspektif kita apabila mencari sahabat dan kedua dari perspektif kita sebagai sahabat.
Jika dilihat dari perspektif kita apabila mencari sahabat, elemen muslim dan mukmin itu sendiri haruslah menjadi tunjang utama. Mencari sahabat, biarlah yang mampu memberi kesedaran buat kita. Bukan yang menjauhkan kita dari-Nya. Carilah sahabat yang mendekatkan diri kita pada-Nya. Benar, sahabat yang baik itu adalah apabila bila kita melihatnya, ia mengingatkan kita pada Allah. Apabila kita melihatnya, kita merasa takut dan malu untuk berbuat maksiat. Sahabat sebegini tidak hanya memberi keuntungan di dunia, malah insyaAllah di akhirat jua.
Dari perspektif kita sebagai seorang sahabat, elemen yang sama perlu ada dalam diri kita; muslim dan mukmin. Kalau nak orang sayang kita, kita mesti sayang orang dulu. Kalau nak orang baik dengan kita, kita mesti baik dulu. So, samala, kalau nak sahabat yang baik, kita kena jadi seorang sahabat yang baik dulu. Setuju?
Ok, sekarang berbalik pada persoalan asal iaitu kita sebagai sahabat. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan sahabat yang memberi musibah buat sahabat kita kelak. Perlu kita ingat dan perlu kita waspada, suka atau tidak, sedar atau tidak, redha atau tidak, realitinya adalah tiap perlakuan dan percakapan (walau seremeh atau sekecil mana) kita, ia berkemungkinan menjadi contoh dan teladan buat sahabat kita yang lainnya. Kadangkala, cara percakapan kita mungkin, cara berpakaian kita mungkin, cara pergaulan kita mungkin, ia berkemungkinan dicontohi oleh sahabat kita walaupun kita tidak pernah menyuruhnya. Dan sahabat kita mula berubah, kita menanggung sebahagian sahamnya. Kalau ke arah kebaikan, pahala lah sahamnya. Kalau ke arah kejahilan, maka dosa lah sahamnya.
Sebagai sahabat, berapa ramai di antara kita yang mengambil berat dalam usaha memperkukuhkan silaturrahim ini? Berapa ramai di antara kita yang merasa cukup dan memadai dengan kunjung mengunjung ketika majlis-majlis tertentu?
Islam mengajarkan kepada kita bahawa silaturrahim itu tidak terhad hanya kepada masa, tempat dan keadaan. Berteraskan iman, ia mampu menjangkaui sempadan itu. Antara cara-cara memperkukuhkan silaturrahim menurut Islam termasuklah:
1) Berjabat tangan ketika bertemu
Rasulullah menganjurkan umatnya apabila bertemu dengan saudara atau sahabat agar cepat-cepat untuk berjabat tangan. Sentuhan melalui berjabat tangan ini akan melahirkan kemesraan dan ukhuwah yang erat. Kaedah berjabat tangan yang dilakukan Rasulullah berdasarkan sabda baginda:
“Rasulullah apabila ada seseorang menghadap kepada beliau maka kalian berjabat tangan, dan baginda tidak mencabut tangan beliau dari tangannya sehingga orang itu mencabut dan baginda tidak memalingkan muka baginda dari mukanya sehingga orang itu memalingkan, dan baginda tidak nampak mendepankan kedua kaki baginda di hadapan orang yang sama-sama duduk dengan baginda”.
2) Memberi senyuman ketika bertemu
Berjabat tangan tanpa senyuman menggambarkan bahawa anda tidak mencinta saudara anda. Bahkan anda mungkin terpaksa berjabat tangan dengan saudara anda kerana tidak dapat mengelakkan diri dari terserempak dengannya. Maka seeloknya senyumlah sebagai iringan bahawa anda benar-benar bahagia bertemu dengan saudara anda
3) Berdoa untuk sahabat
Jangan hanya mengingati saudara @ sahabat kita hanya kita waktu-waktu tertentu sahaja. Berdoalah untuk mereka. Pohonlah kebaikan, kesejahteraan, perlindungan sebagaimana anda berdoa untuk diri anda. Menurut riwayat Muslim bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak bagi seorang hamba mukmin yang berdoa untuk saudaranya dari kejauhan kemungkaran melainkan malaikat berkata, dan bagimu seperti itu juga.”
4) Memberitahu sahabat yang kita menyayanginya
Sangat sedikit di antara kita yang memberitahu kepada sahabat atau saudara kita bahawa kita menyayangi mereka. Sedangkan Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaknya ia memberitahu kepadanya.” [HR Abu Daud & Tirmizi]
Comments
Post a Comment